Please look at the picture, tell me what is wrong with the picture....Thanx...
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm
Malaysia hab eksport Uzbek
|
|
TASHKENT (Uzbekistan) 17 Nov. - Malaysia sedang meneroka kemungkinan menjadi hab eksport bagi barangan Uzbekistan memasuki ke pasaran ASEAN dan rantau sekitarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, walaupun Uzbekistan tidak mempunyai pelabuhan, perkhidmatan kargo udara akan digunakan untuk tujuan itu.
Dengan cara ini, kedua-dua pihak akan menikmati faedah bersama dan Uzbekistan sendiri dapat memperluaskan pasarannya menjangkaui rantaunya sendiri.
"Ini adalah antara strategi yang akan diambil bagi meneroka hubungan dua hala. Kedua-dua negara kita mempunyai sumber asli yang besar yang boleh diterokai," katanya pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya, Islam Karimov selepas mesyuarat delegasi dua hala di Kediaman Presiden (Durmen) di sini hari ini.
Abdullah berada di sini sempena lawatan rasmi empat hari ke Uzbekistan. Turut serta dalam mesyuarat itu ialah dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan Senator Tan Sri Amirsham Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Perpaduan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican.
Sementara dalam masa yang sama, Uzbekistan pula bersetuju untuk membuka peluang kepada pihak swasta Malaysia meneroka industri di negara ini, termasuk membuka ruang prospek yang lebih besar kepada syarikat petroleum negara, Petronas.
Presiden Islam pula berkata, pihaknya mempunyai kepercayaan dan hormat yang amat tinggi terhadap Petronas serta akan memberi peluang yang lebih luas kepada syarikat minyak itu untuk meneroka industri minyak dan gas di negara ini.
Katanya, beliau juga bersetuju dengan Abdullah untuk bekerjasama dalam industri pertanian terutama dalam bidang bioteknologi asas tani.
Sejak menjalin hubungan diplomatik 20 tahun lalu, hubungan perdagangan dua hala telah meningkat tiga kali ganda iaitu daripada AS$12 juta pada 2006 kepada kira-kira AS$40 juta pada 2007.
"Ini memberikan satu gambaran jelas minat yang semakin meningkat oleh sektor swasta Malaysia untuk memperkenalkan hubungan perdagangan yang lebih bermakna di antara mereka. Kita perlu menggalakkan trend sebegini untuk terus meningkat kerana sektor swasta adalah enjin sebenar kemajuan ekonomi kita," kata Abdullah.
Dalam ucapannya, pada mesyuarat itu, Abdullah berkata, kedua-dua negara telah bersetuju untuk memperhebatkan kerjasama dalam bidang-bidang penting semasa kunjungan Presiden Islam ke Malaysia pada 2005.
Katanya, empat memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani pada ketika itu yang antaranya berkaitan kerjasama dalam bidang pelancongan, pembangunan sumber galian, memerangi keganasan dan membentuk Jawatankuasa Perdagangan Bersama.
Dalam mesyuarat dua hala hari ini tiga MoU lagi dan satu protokol telah ditandatangani antara kedua-dua negara.
MoU berkenaan sains dan teknologi telah ditandatangani antara Shafie dan Pengerusi Suruhanjaya Koordinasi Pembangunan Sains dan Teknologi, Shavkat Salihov.
MoU dalam bidang pengajian tinggi ditandatangani antara Mohamed Khaled dan Menteri Pelajaran Tinggi dan Menengah, Azimjon Parpijev serta perjanjian persefahaman mengenai Pembangunan Modal Insan dalam Industri Minyak dan Gas ditandatangani antara Hassan dan Timbalan Perdana Menteri Dua, Ergash Shaismatov.
Satu protokol dikenali sebagai Protokol Perjanjian Penerokaan Surkhanski turut dimeterai antara Hassan dan Shaismatov.
Abdullah dalam pada itu, turut menarik perhatian mengenai minat yang ditunjukkan oleh kerajaan Uzbekistan terhadap konsep Islam Hadhari yang diperkenalkannya di Malaysia.
- Utusan
No comments:
Post a Comment