Thursday, May 22, 2008

Harga gas kepada IPP tidak munasabah

Pasal ni la kita terpaksa bayar bil eletrik TNB yang mahal, malah tarifnya nak dinaikkan lagi..alasannya, TNB rugi... Perjanjian kerajaan yang merugikan rakyat...begitu juga perjanjian dengan konsesi Tol....

Utusan Malaysia - 22/5/08

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi mengakui penjualan gas kepada sektor tenaga pada harga RM6.40 bagi setiap mmBtu (juta unit Termal British) sedangkan harga pasaran adalah RM41 mmBtu adalah tidak munasabah.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, harga jualan gas oleh Petronas terutama kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) adalah lebih rendah daripada kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung oleh Petronas iaitu sebanyak RM15 hingga RM16 mmBtu.

Tambahnya, keadaan ini menyebabkan IPP mampu mengaut keuntungan yang tinggi.

''Penjualan gas kepada IPP adalah tidak munasabah sedangkan kos pengeluaran gas ialah RM15 hingga RM16 mmBtu dan harga pasaran pula mencecah RM41 mmBtu.

''Harga gas yang rendah ini membolehkan IPP mengaut keuntungan yang tinggi dan kementerian bersetuju untuk memastikan IPP tidak mengaut keuntungan yang berlebihan,'' katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Shahziman memberitahu, menjadi hasrat semua untuk memastikan keuntungan yang diperoleh oleh IPP tidak terlalu tinggi.

Katanya, ini masa terbaik untuk membetulkan keadaan bagi memastikan subsidi yang diberikan kerajaan benar-benar diterima oleh kumpulan sasar iaitu rakyat berpendapatan rendah.

''Pembetulan ini akan dilakukan dengan mengambil kira tiga perkara iaitu harga gas, menyeimbangkan keuntungan IPP dan memastikan rakyat tidak terjejas daripada kenaikan tarif elektrik,'' katanya.

Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) yang bangun mencelah bertanya bilakah ia akan dilaksanakan memandangkan IPP kini mengaut keuntungan yang besar.

Beliau memberi contoh mengenai IPP YTL di Terengganu yang mengeluarkan tenaga elektrik 800 megawatt (mw) mengaut untung RM1.5 juta sehari, RM40 juta sebulan dan RM500 juta setahun.

Shaziman menegaskan kementeriannya akan memastikan ia diperbetulkan secepat mungkin.

No comments: