Thursday, August 7, 2008

First flaw in accusation detected

Anwar persoal mengapa Saiful tidak dituduh - Berita Harian 7/8/08

oleh M Thilinadan, Jalal A Rahim, Norhashimah Md Radzali, Fatin Hafizah Mohd Shahar, Petah Wazzan Iskandar dan Zulhilmi Hat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan dakwaan liwat terhadapnya hari ini adalah fitnah khianat yang bertujuan mencemar nama baiknya.

Bercakap kepada pemberita selepas keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempersoalkan bagaimana tuduhan liwat secara sukarela terhadapnya sedangkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak dituduh.

Sebelum itu, Hakim Mahkamah Sesyen, S M Komathi Suppiah membenarkan Anwar, yang akan menyambut hari jadinya ke-61 Ahad ini, dibebaskan dengan jaminan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin selepas mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful.

Hakim menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Beliau dituduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap Mohd Saiful, 23 tahun.

Selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya dan bertanya sama ada beliau (Anwar) mengaku bersalah atau tidak, Anwar berkata:

"Itu fitnah, berniat jahat dan khianat. Saya tidak bersalah."

Pihak pendakwaan diketuai Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun manakala pihak pembelaan yang dibarisi sembilan peguam diketuai Sulaiman Abdullah.

Sementara itu, Peguam Anwar, Sankaran Nair, berkata tuduhan terhadap anak guamnya megikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu liwat dalam sukarela sebagai sesuatu yang pelik.

Katanya, sepatutnya pendakwa turut menuduh Saiful atas kesalahan sama apabila memilih seksyen berkenaan untuk melakukan pendakwaan terhadap Anwar.

Beliau juga berkata, Anwar mempunyai alibi kerana masa pada pertuduhan itu anak guamnnya itu bersama lima orang di Kondominium Desa Damansara, 26 Jun lalu.

Sankaran bagaimanapun berkata, mahkamah hari ini bersifat adil kerana membenarkan jaminan serta tidak menahan pasport antarabangsa Anwar.

No comments: