http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Mutakhir/20080731090222/Article/index_html
Konspirasi RM1.72j - Harian Metro 31/7/08
Oleh Murni Wan Omarmurni@hmetro.com.my
SHAH ALAM: Wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, mungkin berkonspirasi dengan Penyiasat Persendirian (PI), P Balasubramaniam untuk mengugut Abdul Razak Baginda bagi mendapatkan wang AS$500,00 (RM1.72 juta) dan tiga tiket penerbangan balik ke negara berkenaan.
Peguam, Wong Kian Keong yang mewakili penganalisis politik terbabit dalam hujah di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, berkata kredibiliti Balasubramaniam meragukan kerana ketika memberi keterangan, dia mengakui tidak ingat sama ada tuntutan wang itu ada dimaklumkan kepada Abdul Razak.
“Balasubramaniam dalam keterangannya berkata pada malam 17 Oktober 2006, Altantuya ada membuat tuntutan itu. Dia memaklumkan akan berbincang dengan Abdul Razak esoknya dan akan memberitahu Ang Chong Beng (PI yang dilantik Altantuya).
“Ketika perbualan antara dia dan Altantuya, Balasubramaniam membuat panggilan kepada Dhiren Norendra (peguam Abdul Razak), tetapi tidak pasti sama ada Dhiren mendengar perbualan itu. Malah, perbualan di Balai Polis Brickfields itu tidak dimaklumkan kepada Dhiren,” katanya.
|
“Ketika memberi keterangan dan menjawab soalan peguam, Balasubramaniam berkata dia ‘rasa’ ada memberitahu Abdul Razak berhubung tuntutan Altantuya itu. Jawapan seperti boleh menimbulkan keraguan berhubung kebenaran dalam keterangannya.
“Dia setuju bahawa sebagai PI, perkara seperti tuntutan itu penting, tetapi dia tidak ingat ada merekodkannya dalam komputer sebagaimana dia buat kepada maklumat lain yang diterimanya,” katanya.
Beliau berkata, Balasubramaniam memaklumkan kepada Altantuya mahu memberitahu Ang berhubung maklum balas Abdul Razak, tetapi ketika memberi keterangan Ang mengakui dia tidak diberi sebarang maklumat.
“Sepupu dan rakan yang mengakui rapat dengan Altantuya sendiri iaitu Namiraa Gerelmaa dan Uuriituya Gal Ochir juga tidak mengetahui berhubung tuntutan yang didakwa itu. Mereka berdua memaklumkan tiket penerbangan pulang ke Mongolia sudah dibeli. Jadi mustahil jika Altantuya meminta tiga tiket itu.
“Balasubramaniam menimbulkan keraguan sama ada dia membelakangi kepercayaan Abdul Razak yang melantiknya sebagai pengawal peribadi dengan membuat konspirasi dengan Altantuya untuk membuat tuntutan itu,” katanya.
Wong berkata, tindakan Altantuya menimbulkan keraguan dan menipu apabila dia membuat dakwaan Abdul Razak, Balasubramaniam dan seorang lagi PI, K Suras membuat ugutan bunuh terhadapnya.
“Altantuya atau Namiraa dan Uuriituya tahu Suras mengetuk pintu bilik, oleh itu sepatutnya mereka tidak membenarkan dia masuk. Mereka boleh memaklumkan kepada pegawai keselamatan di hotel berhubung perkara itu.
“Malah, Altantuya sendiri tidak memaklumkan berhubung ugutan yang didakwa dilakukan ketiga-tiga lelaki itu kepada Ang. Sebagai PI berpengalaman, Ang sepatutnya tahu dan berbuat sesuatu. Bukti SMS, dokumen atau laporan polis berhubung dakwaan ugutan itu juga tiada,” katanya.
Wong dalam hujahnya, berkata mahkamah perlu mengambil kira kepentingan tiga saksi yang tidak dipanggil pihak pendakwaan untuk memberi keterangan iaitu Dhiren, Deputi Superintendan (DSP) Musa Safri dan Suras.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin bersambung Isnin.
No comments:
Post a Comment